KUANTAN – Sebuah premis di Gebeng dikesan menawarkan khidmat sewa tayar lori pada kadar RM100 hingga RM150 bagi membolehkan kenderaan melepasi pemeriksaan berkala PUSPAKOM.

Kegiatan itu ditemukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menerusi Ops Bengkel bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang pada Rabu lalu.

JPJ Pahang dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati perkhidmatan berkenaan ditawarkan kepada pengusaha lori untuk tujuan pemeriksaan berkala tersebut.

Bagaimanapun, penemuan itu masih memerlukan siasatan dan penelitian lanjut oleh pihak berkaitan sebelum tindakan susulan diambil.

Selain premis tayar berkenaan, pasukan penguat kuasa turut memeriksa lapan bengkel kereta dan motosikal di sekitar Kuantan.

Pemeriksaan menemukan premis yang menawarkan alat ganti serta aksesori tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, termasuk nombor pendaftaran, ekzos dan tayar motosikal.

Susulan itu, JPJ memberikan nasihat serta peringatan kepada pengusaha terbabit berhubung penjualan aksesori berkenaan.

Dalam operasi sama, KPDN mengeluarkan notis kompaun terhadap sebuah premis kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Operasi bersepadu itu melibatkan 17 anggota penguat kuasa, terdiri daripada 10 anggota JPJ dan tujuh pegawai KPDN.

JPJ Pahang memaklumkan operasi bersama agensi berkaitan akan terus dipergiat bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan dan aspek keselamatan kenderaan diberi perhatian.