KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen diberitahu Fashion Valet Sdn Bhd menerima hampir RM40 juta pelaburan daripada Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi empat transaksi pada 2018.
Pengurus Public Bank, Tay Lay Hong, 54, berkata dua kemasukan dana daripada Khazanah berjumlah RM7.848 juta dan RM11.742 juta direkodkan masing-masing pada 23 dan 26 Mac tahun berkenaan.
Menurutnya, Fashion Valet turut menerima RM11.9535 juta daripada PNB pada 4 Jun, disusuli RM8.364 juta pada 20 Disember tahun sama.
Tay memberikan keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah jenayah RM8 juta membabitkan pasangan pengasas Fashion Valet, Vivy Yusof dan Fadzarudin Shah Anuar.
Beliau berkata, rekod bank menunjukkan pengeluaran RM11 juta daripada akaun Fashion Valet pada 21 Ogos 2018 dilakukan menerusi pembayaran pukal menggunakan perbankan dalam talian. Penerima pembayaran itu tidak dinyatakan dalam keterangannya berkenaan.
Mahkamah turut diberitahu RM5 juta dikreditkan daripada 30 Maple Sdn Bhd ke akaun Public Bank Vivy pada 3 September dengan rujukan transaksi “CIMB Rentas”.
Pada keesokan harinya, akaun Fadzarudin menerima RM5 juta daripada syarikat sama dengan catatan “dividen interim”.
Menurut Tay, pasangan itu kemudian masing-masing mengeluarkan RM5.5 juta daripada akaun Public Bank mereka melalui urusan di kaunter pada 5 September.
Ketika pemeriksaan balas, peguam bela M Athimulan mencadangkan pembayaran pukal merupakan kaedah lazim bagi peruncit besar untuk menjelaskan komitmen seperti gaji pekerja, bayaran pembekal dan sewa premis. Tay bersetuju dengan cadangan tersebut.
Saksi itu juga bersetuju bahawa transaksi pembayaran pukal RM11 juta berkenaan tidak bermakna keseluruhan wang dipindahkan ke satu akaun peribadi tertentu.
Beliau turut bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa dirinya tidak menemukan pemindahan wang secara penipuan kepada syarikat cangkerang atau akaun peribadi yang tidak wujud dalam pembayaran pukal itu.
Vivy dan Fadzarudin didakwa bersama pada 5 Disember 2024 atas pertuduhan pecah amanah jenayah ketika menjadi pengarah Fashion Valet.
Mereka dituduh membenarkan pembayaran RM8 juta daripada akaun korporat Fashion Valet kepada 30 Maple tanpa kelulusan lembaga pengarah pada 21 Ogos 2018 di cawangan





