KUANTAN: Sebuah resort yang sudah menghentikan operasi di Sungai Lembing, Pahang, dipercayai dijadikan pusat penipuan antarabangsa sebelum diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Operasi di Jalan Sungai Arang itu membawa kepada penahanan 98 individu, terdiri daripada 95 warga asing dan tiga rakyat Malaysia, termasuk lelaki yang dipercayai pemilik resort.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata sindiket dipercayai menyewa premis tersebut pada kadar kira-kira RM30,000 sebulan dan menjalankan kegiatan selama tiga bulan.
Menurutnya, serbuan dilaksanakan selepas kira-kira sebulan risikan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Imigresen Pahang.
Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun, dengan warga China membentuk kumpulan terbesar.
Pemeriksaan menemukan 120 set komputer, 100 telefon bimbit dan 11 set peralatan Starlink. Turut dirampas ialah pasport, kad SIM, sistem kamera keselamatan serta wang tunai RM5,000.
Zakaria berkata lokasi terpencil itu dipercayai beroperasi sepanjang masa menggunakan sistem syif. Sindiket juga disyaki menempatkan tonto bagi mengawasi pergerakan keluar masuk.

Siasatan awal turut menunjukkan kumpulan terbabit dipercayai berpindah antara negara untuk mengelakkan kegiatannya dikesan.
Kes disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.





