PETALING JAYA: ADUN Semambu, Chan Chun Kuang menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan penerima bakul makanan daripada PKR Cabang Indera Mahkota didaftarkan sebagai ahli parti tanpa pengetahuan mereka.

Beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu perlu dipandang serius bagi memastikan perkara sebenar diperjelaskan dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya berlaku pelanggaran prinsip atau tatacara parti.

Chun Kuang menegaskan beliau sama sekali tidak bersetuju sekiranya bantuan kepada rakyat dijadikan medium untuk mendapatkan keahlian atau sokongan politik.

Menurutnya, setiap bantuan hendaklah disalurkan berdasarkan keperluan dan keadaan penerima tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.

Beliau berkata, penyertaan dalam parti politik seharusnya lahir daripada keyakinan terhadap idealisme, prinsip dan wawasan yang diperjuangkan, bukannya dipancing melalui bantuan kewangan, barangan atau apa-apa bentuk habuan.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak parti menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut bagi memastikan nama baik dan integriti parti terus dipelihara.

Chun Kuang turut menegaskan bahawa bantuan kepada rakyat mesti kekal sebagai tanggungjawab dan amanah, bukannya dijadikan alat politik.

Baginya, bantuan merupakan hak golongan yang memerlukan, manakala keahlian parti perlu berasaskan keyakinan dan kesedaran individu.